• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Buka Hab Cendawan Pula

Dr Azman Ibrahim menjawab persoalan rakyat pada Majlis Sesi Dialog Menteri Pertanian Bersama Petani, Perternak dan Nelayan.
Oleh: Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU, 10 November - Kerajaan Terengganu akan mewujudkan Hab Pemprosesan dan Pengembangan Cendawan (HPCC) yang akan dirasmikan pada 19 November ini di Balai Informasi Pertanian Kampung Tempinis, Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha untuk membantu dan menaikkan industri cendawan sebagai satu tumpuan baru sektor pertanian Negeri Terengganu.

Dalam tumpuan lain, untuk memperkayakan sumber perikanan di Perairan Terengganu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM250,000 pada tahun 2018 dibantu dengan peruntukan RM380,000 dari Kerajaan Pusat untuk Program Labuh Unjam dan Tukun di perairan negeri ini.

"Rizab sumber perikanan di perairan pantai timur sudah berada pada kod merah  berbanding perairan Sabah yang berada pada kod kuning," jelasnya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Sesi Dialog Menteri Pertanian Bersama Petani, Perternak dan Nelayan di Kompleks Pertanian Ajil, Hulu Terengganu, semalam.

Dalam perkembangan sama, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi memberitahu, tujuan memperbanyakkan tukun dan unjam ini adalah supaya ikan yang 'berhijrah' dapat singgah dan sekaligus berpotensi memperkayakan sumber untuk faedah nelayan di negeri Terengganu.

Di samping itu, unjam dilabuhkan dengan jarak sekitar 4 batu nautika dari persisiran pantai agar para nelayan dapat menangkap ikan walaupun keadaan cuaca tidak menentu dan mereka sempat pulang apabila cuaca tidak mengizinkan.


Majlis tersebut bermula jam 10 pagi dan dihadiri sekitar 300 orang masyarakat petani, penternak dan nelayan dari seluruh Negeri Terengganu.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Haji Salahuddin Ayub dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Harun.

Tag: