• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Buka Kawasan Baharu Untuk Penanaman Padi

MARANG, 21 September - Kerajaan Terengganu sudah mengenal pasti dan membuka beberapa lokasi baharu yang dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya juga telah meneliti sawah padi berpotensi untuk diperluaskan bagi meningkatkan penghasilan beras.

Katanya, antara kawasan dibuka baharu ialah Durian Mentangau, Paya Dadong dan Skim Paya Paman.

"Di Durian Mentangau kira-kira 40 hektar kawasan padi yang dibuka dengan mempraktikkan tanaman padi secara organik sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta.

"Kawasan-kawasan ini sebelum ini telah dibiarkan kerana masalah pengairan, selepas itu kita bina dan naik taraf semula sistem pengairan sehingga mampu untuk bertanam semula.

"Strategi ini berjalan serentak kesemuanya sebab itu kita boleh tengok berlaku peningkatan dari tahun 2018, 2019 sehingga sekarang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Program Input Penternakan Ruminan 2023, di Dewan Sivik Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Tambah Dr Azman, antara usaha lain bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi di Terengganu ini termasuk menambah keluasan jelapang padi sedia ada.

"Perancangan besar kita adalah untuk menjadikan kawasan jelapang padi yang ada sekarang ini daripada 5,000 hektar kepada 10,000 hektar dengan memasukkan lagi 5,000 daripada 7,000 yang berada di luar jelapang yang dinamakan sebagai Projek Kawasan bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) Fasa 2," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga berusaha meningkatkan kesuburan tanah supaya penghasilan padi per hektar dapat ditingkatkan.

"Kawasan yang kebiasaan menghasilkan tiga metrik per hektar akan dinaikkan menjadi lima metrik, yang selama ini lima metrik boleh dinaikkan jadi lapan metrik tan per hektar.

"Antara strategi lain juga ialah menaik taraf infrastruktur pengairan, meningkatkan kesuburan tanah, melakukan kerja-kerja meratakan tanah sawah.

"Kita juga 'upgrade' kawasan yang bertanam sekali setahun kepada dua kali setahun, telah ada beberapa kawasan di sekitar Dungun, Kemaman serta di Kuala Nerus yang asalnya cuma bertanam sekali setahun, usaha ini dibuat dengan meningkatkan sistem pengairan sekali gus akan memperolehi hasil dua kali ganda," ujarnya.

Pada 15 September lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan kerajaan Terengganu sudah mengenalpasti kawasan baharu untuk projek penanaman padi bagi meningkatkan hasil bekalan beras di negeri ini.

Katanya, kawasan tersebut merupakan kawasan yang telah lama tidak ditanam padi justeru akan dibangunkan semula bagi tujuan berkenaan.

"Kita sedang berkomunikasi dengan rakyat di kawasan tersebut bagi mencari tenaga kerja kerana kawasan berkenaan sudah lama tidak diusahakan maka keluarga-keluarga di sana sudah bekerja di luar negeri dan sebagainya.

“Nak cari orang untuk usahakan juga perlu ditangani dengan baik dan tidak mudah sebenarnya serta memakan masa," jelasnya.