• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Buka Pusat Pemberian Vaksin Masjid Pertama

KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Terengganu membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masjid yang pertama di negeri itu bagi menyemarakkan program imunisasi kebangsaan sekali gus mewujudkan pelbagai kaedah dalam pelaksanaan vaksinasi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyasarkan pembukaan PPV masjid di setiap daerah Terengganu bergantung kepada perancangan dan bekalan vaksin yang diterima.

"Kita mahu mempelbagaikan kaedah penyampaian vaksin kepada rakyat yang mana selain daripada PPV awam kita ada juga PPV nstitut pengajian tinggi (IPT) dan program bantuan (outreach) ke kawasan-kawasan pedalaman.

"PPV masjid akan dikembangkan ke seluruh negara terutama di kawasan-kawasan pedalaman yang dihuni orang-orang Melayu dan pendekatan ini membantu menimbulkan minat dan kefahaman yang benar tentang vaksin kepada umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV masjid di Masjid Al-Taqwa, Durian Burung, hari ini.

Turut serta, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar.

Jelasnya, program PPV masjid masih diperingkat perintis yang akan dikembangkan.

"Berbanding program vaksinasi masjid di Kelantan yang lebih kepada program outreach, PPV masjid di sini lebih tersusun, lengkap dan ia akan jadi tetap.

"Kiita juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) melalui perbincangan saya dengan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir sebab kita tidak mahu ada tohmahan tidak boleh solat di masjid tetapi boleh berkumpul untuk terima suntikan," katanya.

Menurut Amzad, PPV masjid itu diselia sepenuhnya oleh PAPISMA dengan seliaan dan pemantauan JKNT.

"Hari ini, kita ada 10 doktor pakar dan 30 doktor perubatan, saya telah lihat hari ini dan dapati ia telah berjalan seperti mana yang kita harapkan, kita telah berjaya menyelesai vaksinasi seramai 90 orang dalam masa dua jam sahaja.

"Mereka ini bertugas secara percuma atas dasar kesedaran meringankan beban barisan hadapan dan perancangan kita setakat ini, PPV ini beroperasi pada hujung minggu sahaja," katanya.

 


Tag: