lightning-solid
Berita :
Terengganu  Buru Kelompok Tiga Terbaik SUKMA 2026
Terengganu Buru Kelompok Tiga Terbaik SUKMA 2026
Mastura Jamal Din
20 jam yang lepas
46

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos –Selepas menamatkan saingan di tempat kelima pada edisi lalu, Kontinjen Terengganu kini bertekad bangkit dengan meletakkan sasaran 60 hingga 65 pingat emas serta berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan atlet negeri itu dalam beberapa edisi SUKMA sebelum ini, selain reputasi Terengganu sebagai antara pencabar utama di gelanggang.

Menurut beliau, setiap atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen perlu menjadikan sasaran itu sebagai tekad bersama demi mengembalikan kegemilangan Terengganu di pentas SUKMA.

"Di sebalik simbolik penyerahan bendera pada hari ini, terdapat satu amanah yang besar sedang diserahkan. Di sebalik Jalur Hitam Putih itu, tersimpan harapan seluruh rakyat Terengganu yang sentiasa mendoakan kejayaan kontinjen negeri.

"Setiap langkah di gelanggang membawa nama Terengganu. Berjuanglah dengan hati yang cekal, semangat yang kental dan jiwa seorang pejuang. Kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat, bahkan keberanian memberikan yang terbaik demi negeri yang kita cintai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu ke SUKMA XXII Selangor 2026 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata, dengan kesatuan hati, disiplin yang tinggi serta semangat "Nelang" yang sentiasa membara, beliau yakin kontinjen Terengganu mampu melakar satu lagi sejarah gemilang pada temasya kali ini.

Katanya, atlet-atlet Terengganu sentiasa menjadi pencabar yang disegani oleh setiap lawan berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan sebelum ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa nilai sebagai anak Terengganu perlu sentiasa dipelihara dengan menampilkan disiplin, integriti dan sahsiah yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

"Kerajaan Negeri amat menghargai segala pengorbanan atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen. Berjuanglah dengan penuh keberanian, disiplin dan semangat yang tinggi demi Jalur Hitam Putih yang kita cintai.

"Sekiranya kontinjen Terengganu berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan merangkul kembali kejuaraan keseluruhan, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan satu bentuk penghargaan istimewa sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan kecemerlangan yang dipersembahkan kepada negeri," katanya.

Menurutnya lagi, seramai 799 orang ahli Kontinjen SUKMA Terengganu 2026 yang terdiri daripada 526 lelaki dan 273 wanita akan membawa satu misi besar mempertahankan maruah, mengangkat nama serta melakar kejayaan buat Negeri Terengganu di pentas SUKMA XXII Selangor. 

Beliau berkata sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri menyediakan insentif sebanyak RM3,500 bagi pingat emas, RM2,500 bagi pingat perak dan RM1,500 bagi pingat gangsa.

" Insentif yang sama turut diberikan kepada atlet Para SUKMA  Selangor 2026 yang akan berlangsung dari 5 hingga 10 September 2026," ujarnya..

Mengulas pencapaian lalu, Mohd Azmi berkata, pada SUKMA XXI Sarawak 2024, Terengganu menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan selepas mengutip 41 pingat emas, 36 pingat perak dan 47 pingat gangsa, menjadikan keseluruhan 124 pingat.

"Pencapaian itu perlu dijadikan landasan untuk kita bangkit lebih gagah, melonjak lebih tinggi dan mencipta keputusan yang lebih cemerlang pada edisi kali ini.

"Kita hadir bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk mencipta kejayaan dan memastikan Terengganu berada sekurang-kurangnya dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua atlet supaya sentiasa menjaga maruah diri dan nama baik negeri melalui prestasi, disiplin, adab serta semangat kesukanan agar terus disegani bukan sahaja kerana kejayaan di gelanggang, malah kerana sahsiah dan integriti yang tinggi.


Tag :

Artikel Berkaitan