• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Catat Pendaftaran PICKids Kedua Terendah

HULU TERENGGANU, 24 Februari - Kelantan, Terengganu dan Sabah merekodkan kadar penerimaan vaksinasi terendah untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan hanya mencatatkan kadar kurang daripada sepuluh peratus.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sehingga kini Kelantan hanya mencatat 6.1 peratus, Terengganu (7.5), dan Sabah 8.9 peratus dalam program Pemberian Vaksin Kanak-kanak (PICKids) yang telah dijalankan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) telahpun menghubungi Jabatan Kesihatan negeri dan menentukan apakah masalah dan punca kadar masih rendah.

"Bagaimanapun, berdasarkan hasil bancian yang dilakukan, ramai ibu bapa enggan anak mereka divaksin dengan mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan dan digalakkan untuk mendaftarkan anak masing-masing bagi program imunisasi covid-19 kebangsaan kanak-kanak bagi mengekang penularan jangkitan di kalangan kanak-kanak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Kanak-kanak PICKids di SK Seri Buluh, Hulu Terengganu hari ini.

Sementara itu, bagi seluruh negara, terkini PICKids telah mencapai 18.6 peratus dengan Sarawak mendahului kadar penerimaan tertinggi iaitu sebanyak 34.7 peratus, disusuli Melaka(31.6), Pulau Pinang(25.7), Perak(24.4) dan kawasan Lembah Klang, (21.7).

Dalam perkembangan yang sama, di Terengganu, JKNT menyasarkan 124,206 kanak-kanak diberi suntikan vaksin covid-19 di negeri itu.

Dr Noor Azmi berkata, bagi meningkatkan kapasiti pelaksanaan PICKids, JKNT akan menambah bilangan pasukan outreach sekolah daripada 81 kepada 136 PPV sekolah.

"Beberapa strategi juga akan dijalankan termasuk mempergiatkan aktiviti promosi di setiap peringkat.

"Ini termasuk hebahan dalam media sosial, slot radio bersama pakar dan perkongsian ibu bapa kanak-kanak yang telah mendapat suntikan," tambahnya.