• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Diiktiraf Negeri Berprestasi Baik

KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu tersenarai antara tujuh negeri yang merekodkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2019 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun 2018.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini menjadikan nilai KDNK kita meningkat daripada RM34.8 bilion pada tahun 2018 kepada RM36.0 bilion pada tahun 2019.

“Sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan nilai RM18.5 bilion dan RM13.1 bilion masing-masing.

“Walaupun begitu, kita tidak wajar untuk berasa selesa dengan kedudukan tersebut memandangkan pertumbuhan KDNK kita masih di bawah paras nasional,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hampir semua sektor ekonomi di Terengganu mencatatkan pertumbuhan positif.

“Sektor pembinaan dan sektor pertanian merekodkan pertumbuhan paling memberangsangkan iaitu masing-masing daripada -9.2 peratus dan -2.5 peratus pada tahun 2018 kepada 0.4 peratus dan 6.0 peratus pada tahun 2019,” tambah beliau.


Tag: