• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Tuan Rumah SUKSEM 2024

SHAH ALAM, 30 Oktober- Terengganu dipilih sebagai tuan rumah Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) bagi edisi ke-9 pada tahun 2024.

Penyerahan bendera diserahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk SUKSEM 2022, Dato' Haris Kasim kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dalam acara penutup di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, SUK Selangor, semalam.

Ketua Kontinjen Terengganu, Anuar Awang ketika ditemui selepas majlis memaklumkan, negeri Terengganu berbesar hati dipilih sebagai tuan rumah bagi SUKSEM 2024. 

"Jadi, kita kena melakukan persiapan yang lebih rapi sebagai tuan rumah untuk menyambut ketibaan atlet-atlet lain nanti.

"Kita juga perlu memastikan kita meraih lebih banyak kemenangan dan memberikan tentangan sengit kepada lawan di halaman sendiri," katanya.

Tambahnya, dalam SUKSEM kali ini Terengganu berjaya mengumpul satu pingat emas melalui sukan golf, satu perak melalui sukan e-sport (acara PUBG) dan satu gangsa daripada sukan ping-pong.

"Terengganu menduduki tempat kelima keseluruhan dalam karnival sukan yang menutup tirainya malam ini.

"Hari ini, hari terakhir kita di Shah Alam. Terima kasih kepada semua atlet SUKSEM Terengganu dan kita berjaya mengumpulkan tiga pingat kali ini," ujarnya.

Negeri Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan SUKSEM 2022, manakala Sabah di tempat kedua.

Selain itu, tuan rumah iaitu negeri Selangor menerima anugerah pasukan paling mesra dalam karnival sukan kali ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: