• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu FC Belasah Kelantan FC

KUALA NERUS, 4 April- Terengganu FC mudah membenam Kelantan FC dengan jaringan 5-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia, sebentar tadi.

Pada aksi 'derbi Pantai Timur' yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Tomislav Steinbruckner menurunkan Argzim Redzovic bagi mengetuai benteng pasukan menggantikan Sardor Kulmatov yang digantung perlawanan.

Seawal minit pertama, tuan rumah beraksi dengan corak serangan pantas mengancam kubu pelawat.

Memasuki minit ke-15, Jordan Mintah yang menerima hantaran daripada Syafiq Ismail di luar kotak penalti melakukan rembatan deras menggegar gawang Kelantan FC untuk gol pertama Terengganu FC.

Enam minit kemudian, Sang Penyu semakin garang apabila menjarakkan kedudukan dengan gol kedua perlawanan.

Kali ini, penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn melakukan rembatan leret dari jarak 20 meter yang menewaskan penjaga gol The Red Warrior, Nik Mohd Amin Ahmad.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pelawat meningkatkan momentum serangan untuk merapatkan kedudukan.

Pada minit ke-24, Nurshamil Abd Ghani mendapat peluang untuk menjaringkan gol pertama pasukannya, tetapi sepakannya melambung tinggi.

Kedudukan kekal 2-0 pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Terengganu FC memulakan pesta gol apabila Ivan Mamut dijatuhkan Muhammad Afiq Azuan dalam kotak penalti pada minit ke-64.

Seminit kemudian, penyerang kelahiran Croatia itu mencetak gol pertama peribadinya musim ini setelah menyempurnakan penalti untuk gol ketiga Sang Penyu.

Kelantan FC cuba bangkit untuk mencipta jaringan dengan serangan demi serangan ke gawang tuan rumah, namun tidak berhasil.

Sebaliknya, pada minit-minit akhir perlawanan, Ivan yang menerima umpanan Hakimi Abdullah berjaya meledak gol keempat perlawanan.

Seminit kemudian, serangan balas Terengganu FC disempurnakan Hakimi untuk tuan rumah selesa dengan keputusan 5-0.

Terengganu FC kini mengumpul 10 mata daripada tujuh perlawanan dan kekal di tangga keenam Liga Super Malaysia 2023.

 


Tag: