• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu FC Gagal 'Rantai'Gergasi Merah

KUALA NERUS, 21 November - Langkah Terengganu FC berakhir pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2022 apabila sekadar menang 1-0 ke atas Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.

Kemenangan itu belum cukup untuk membawa Sang Penyu sekali lagi ke pentas akhir apabila tewas dengan agregat 2-3.

Membariskan Petrus Shitembi menggantikan Kpah Sherman, anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan permainan dengan agresif bagi merapatkan jurang agregat dengan gol awal.

Pada minit ke-12, Tcheche Kipre melakukan percubaan pertama yang melepasi gawang hasil hantaran Faisal Halim.

Selangor FC kemudian hampir mengejutkan tuan rumah apabila Nor Hakim Hassan nyaris menyumbat gol pertama, mujur diselamatkan Rahadiazli Rahalim pada minit ke-20.

Skuad kendalian Tan Cheng Ho lebih banyak mengukuhkan pertahanan untuk mengekalkan kelebihan dua gol pada aksi kedua ini selain cuba mengubah keputusan melalui serangan balas.

Terengganu FC berhasil memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke -35 setelah hantaran lintang rendah Faisal di berjaya ditolak Kipre ke dalam gawang.

Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama untuk menghidupkan semula peluang Terengganu FC ke perlawanan akhir.

Sepuluh minit setelah babak kedua bermula,  Kipre berjaya menyambut rembatan Manuel Ott untuk gol kedua tuan rumah.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan menafikan gol tersebut berikutan posisi penyerang kelahiran Ivory Coast itu berada pada kedudukan 'offside'.

Sang Penyu terus menyerang menerusi rembatan leret Ott pada minit ke-62 dan rembatan luar kotak Shahrul Nizam pada minit ke-64, tetapi tidak mampu menjelmakan jaringan.

Pada minit ke-87, pertahanan Selangor FC, Yazan Mahmoud Al-Arab dilayangkan kad kuning kedua menyebabkan pelawat bermain dengan 10 pemain.

Sayangnya, tuan rumah tidak mampu menambah jaringan untuk menyekat peluang Selangor FC.

Sekalipun menang, Terengganu FC gagal mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas tewas agregat 2-3 kepada Gergasi Merah.

 


Tag: