• 24 Nov 2020 | 8 Rabiul Akhir 1442

Terengganu FC II Akur Tewas Kelebihan Fizikal

KUALA TERENGGANU, 5 September- Sekalipun Terengganu Football Club (Terengganu FC II) tewas kepada Johor Darul Ta'zim II  (JDT II) dengan keputusan 2-3, tetapi semangat yang ditunjukkan anak buah Roshadi Wahab malam malam ini boleh dibanggakan.

Bermain di laman sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelebihan jelas memihak pelawat apabila The Turtle tidak dapat menggunakan khidmat Argzim Redzovic yang dipinjam skuad 'abang'.

Terengganu FC II bermula baik apabila meledak gol pertama seawal minit pertama melalui rembatan Zuasyraf Zulkiefle dari sisi kiri kotak penalti.

Tersentak dengan gol tersebut, JDT II mula menguasai perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12 melalui Francisco Insa yang menanduk kencang sepakan sudut kapten pasukan, Alberto Fernandez.

Minit ke-27 perlawanan, pemain naturalisasi yang dikenali sebagai Kiko Insa itu sekali lagi berjaya mencetak gol hasil sepakan sudut Fernandez dengan rembatan rendah membolosi gawang Terengganu FC II.

Kedudukan kekal 1-2 sehingga tamat separuh masa.

Memasuki babak kedua, tuan rumah memperkemaskan pertahanan dengan 'high pressing', sesekali dengan serangan balas ke kubu lawan.

Pada minit ke-54, Terengganu FC II berjaya bangkit menerusi pemain sayap, Engku Muhammad Nur Shakir yang memanfaatkan peluang dengan rembatan dari jarak 25 meter ke gawang JDT II yang terdedah.

Bagaimanapun, pelawat terus menghukum tuan rumah dengan gol ketiga 10 minit kemudian, juga melalui situasi bola mati.

Kali ini, sepakan percuma Fernandez ditanduk penyerang, Fernando Rodriguez tepat ke gawang yang dikawal Mohd Suhaimi Husin.

Perlawanan berkesudahan dengan JDT II membawa pulang tiga mata dari kubu The Turtle.

Jurulatih Terengganu FC, Roshadi menyifatkan ketiadaan Argzim menjadi satu kekurangan dalam skuadnya.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pasukan, walaubagaimanapun, memang kami terasa kehilangan Argzim.

"Ini kerana tiga gol yang dijaringkan JDT II adaah melalui situasi bola mati dan kami kalah dari segi fizikal," katanya.

Bertemu Kuala Lumpur selepas ini, beliau menjelaskan mereka perlu lebih bersedia.

"Kami perlu menggandakan latihan menghadapi 'set piece' pihak lawan supaya situasi ini tidak merugikan kita dalam perlawanan," jelasnya.

 

 

 

 


Tag: