• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu FC II Juara Piala MB Terengganu 2022

KUALA TERENGGANU, 10 Februari- Terengganu FC II dinobatkan sebagai juara Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022, apabila menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi terakhir, sebentar tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke 30.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) itu terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin, pada penghujung separuh masa pertama apabila berlaku pergaduhan di kalangan pemain kedua-dua pasukan.

Kekecohan bermula selepas pemain-pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad menampan sepakan penalti kapten Harimau Kumbang, Endrick Dos Santos pada minit ke-45 perlawanan.

Ketidakpuasan hati beberapa pemain kemudiannya mencetuskan pergaduhan dan aksi kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan sebelum dileraikan anggota keselamatan.

Rentetan insiden tersebut, seorang pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra'op mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan pemain tuan rumah, Mohd Ridzuan Mohd Razali cedera di bahagian kepala.

Setelah 45 minit dihentikan, pengadil terpaksa menamatkan perlawanan atas faktor tertentu.

Skuad 'adik' yang mendahului 1-0 pada separuh masa pertama diangkat sebagai juara kejohanan edisi kedua selepas mengumpul enam mata hasil tiga perlawanan.

Dalam pada itu, pasukan Terengganu FC menoktahkan aksi dengan kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), dalam satu lagi perlawanan sebentar tadi.

Wan Sukairi menyampaikan pingat kemenangan kepada Terengganu FC II.

 

 

 

 

 

 


Tag: