• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu FC II Lebur Rekod Tanpa Kalah Pulau Pinang

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Terengganu Football Club II (TFC II) berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Juara Liga Premier Malaysia 2020, Pulau Pinang apabila menang 1-0 dalam aksi terakhir liga, sebentar tadi.

Melayan kunjungan Harimau Kumbang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), penyerang tuan rumah, Jordan Mintah meledak gol tunggal perlawanan sekali gus menafikan penamat terbaik pelawat bagi musim ini.

Selaku tuan rumah, anak buah Roshadi Wahab memulakan perlawanan dengan bermain secara lebih terbuka untuk mendapatkan gol awal.

Namun, Pulau Pinang yang cemerlang sepanjang musim ini lebih banyak mendominasi perlawanan.

Pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid mempamerkan penguasaan dengan empat serangan sepanjang babak pertama, tetapi barisan penyerang mereka jelas terganggu dengan keadaan padang basah akibat hujan lebat.

Terengganu FC II pula berjaya mengawal asakan lawan dengan beberapa serangan balas.

Memasuki babak kedua, Pulau Pinang terus melakukan serangan bertali arus sambil tuan rumah lebih banyak menggerakkan bola melalui hantaran-hantaran jauh ke pasangan penyerang, Jordan dan Darren Lok.

Pada minit ke- 87, lorongan kemas Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob berjaya memecahkan kubu pertahanan lawan membolehkan Jordan berada dalam situasi satu lawan satu bersama penjaga gol lawan, Samuel Jacob Somerville.

Peluang itu disempurnakan Jordan dengan sungkitan mudah melepasi kawalan Somerville.

Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan melonjakkan Terengganu FC II ke tangga kedua liga dengan 22 mata.

Kedudukan tempat kedua masih terbuka kerana pesaing, Kuala Lumpur akan bertemu Kuching FA, dalam aksi liga yang ditangguhkan ke minggu depan berikutan sekatan perjalanan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak akibat Covid-19.

 

 

 


Tag: