• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

SHAH ALAM, 20 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengalami kekalahan buat kali ketiga berturut-turut apabila tumpas 1-2 di tangan UITM FC, semalam.

Beraksi di gelanggang lawan, anak buah Nafuzi Zain dikejutkan dengan gol tuan rumah seawal minit keempat perlawanan.

Penyerang UITM FC, Muhamad Arif Mohamed Anwar berjaya melakukan tindakan susulan dengan menolak bola muntah yang ditampan Sharmiza Yusoff hasil sepakan deras pemain import, Mark Hartmann.

Terengganu FC cuba bangkit dengan menggasak tetapi penjaga gawang UITM FC, Azfar Arif Mohd Sukri ampuh menahan serangan.

Sanjar Shaakhmedov akhirnya berjaya memperoleh sepakan penalti dan disempurnakan dengan baik oleh Lee Tuck pada minit ke-38.

Pada babak kedua perlawanan, Sang Penyu cuba mencari tiga mata untuk dibawa pulang.

Sayangnya, perjuangan itu dinoktahkan kapten yang juga pertahanan tuan rumah, Victor Nirennold dengan rembatan 'half volley' setelah mendapat umpanan cantik Mark Hartmann pada minit ke-60.

Keputusan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.

Terengganu FC menjadi mangsa ketiga 'dikuliahkan' skuad budak universiti selepas Pahang dan Felda United sebelum ini.

 

 


Tag: