• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu FC Lakar Kemenangan Pertama Piala AFC

KUALA NERUS, 20 September - Terengganu FC merakamkan kemenangan berharga apabila menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners FC, 1-0 pada aksi pertama Piala AFC 2023, malam ini.

Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu FC turun dengan kesebelasan utama yang menang ke atas Selangor FC tempoh hari. 

Namun, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner melakukan sedikit perubahan dengan meletakkan Mohamad Arif Fadzilah selaku pertahanan kiri menggantikan Alif Zakaria.

Tuan rumah hampir dikejutkan seawal minit kedua apabila penyerang Mariners, Marco Tulio melakukan sepakan gunting yang menerjah sisi gawang.  

Pelawat terus garang menggasak kubu Sang Penyu.

Penyerang, Angel.T berjaya melepasi perangkap offsaid untuk berdepan satu lawan satu dengan Suhaimi Husin pada minit ke-16, tetapi penjaga gol Terengganu FC itu cemerlang mengawal gawangnya.

Pada minit ke-30, Terengganu FC melakukan serangan balas bagaimanapun lorongan Ivan Mamut gagal disudahkan Nor Hakim Hassan.

Mariners yang berbekal kelebihan fizikal lebih banyak menguasai perlawanan, namun tuan rumah tampak berani bermain secara terbuka dan menyerang balas.

Memasuki minit tambahan separuh masa pertama, Nurillo Tukhtasinov melakukan hantaran lintang rendah yang ditampan pertahanan lawan, Nathan Paull ke gawang sendiri.

Kesilapan tersebut memberi kelebihan tuan rumah mendahului pada tamat separuh masa.

Mariners memulakan aksi babak kedua dengan lebih agresifdengan tandukan kencang Alou Kuol pada minit ke-45 yang melewati palang.

Pada minit ke-75, Habib Haroon melakukan rembatan dari luar kotak penalti tetapi hanya menggegar tiang gol.

Pelawat melakukan beberapa lagi percubaan merbahaya, namun keampuhan benteng Terengganu FC menafikan sebarang gol dijaringkan.

Sang Penyu berjaya memperoleh tiga mata berharga dalam perlawanan pertama Piala AFC menyaksikan pasukan itu menduduki tangga kedua Kumpulan G.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, pasukan dari Indonesia, Bali United merebut kedudukan pendahulu kumpulan setelah menang 5-2 ke atas pasukan Stallion Laguna FC dari Filipina.

 

 

 


Tag: