• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu FC Lega Pertahan Tiga Mata

KUALA NERUS, 1 April- Pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) mendaki 2023 ke tangga keenam Liga Super Malaysia hasil kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan United FC, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan kedua selepas permulaan hambar musim ini.

Seawal minit kelima, tuan rumah sudah di depan hasil jaringan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi setelah menerima umpanan Muhamad Azam Azmi Murad dalam kotak penalti pelawat.

Tiga minit kemudian, anak-anak buah Tomas Trucha cuba menyamakan kedudukan, namun rembatan Victor Silva berjaya ditepis keluar Mohd Suhaimi Husin.

Perlawanan berlangsung perlahan dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan banyak bermain di kawasan tengah.

Pada minit ke-27, Jordan Mintah menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Terengganu FC.

Bermula dari hantaran lintang Syafiq Ismail, pemain kelahiran Ghana itu menanduk masuk bola menggegarkan gawang Muhammad Ilham Amirullah Razali untuk gol pertamanya musim ini.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Kelantan United FC mencipta beberapa peluang seawal babak kedua bersambung untuk merapatkan jurang jaringan.

Pada minit ke-51, Devid de Santana yang menerima umpanan di dalam kotak penalti cuba mengatasi Suhaimi tetapi tidak berjaya.

Tiga minit kemudian, Abdul Latif Suhaimi berpeluang meledak jaringan, namun tandukannya tersasar.

Pada minit ke-56, Terengganu FC menyerang kubu pelawat tetapi rembatan kencang dari jarak 20 meter oleh penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut diselamatkan palang gol.

Memasuki minit ke-75, pemain sayap Filipina, Jose Elmer Porteria memecah kebuntuan jaringan Kelantan United FC dengan rembatan dari jarak 20 meter untuk merapatkan jurang kepada 1-2.

Kelantan United FC cuba menyamakan kedudukan bagi mencuri satu mata dari Gong Badak, namun tiada jaringan tambahan terhasil.

Kemenangan tersebut memastikan Terengganu FC menghuni kelompok enam teratas dengan tujuh mata dari enam perlawanan.

Terengganu FC akan melayan kunjungan satu lagi pasukan dari Kelantan, Kelantan FC pada Selasa depan.

 

 

 

 

 


Tag: