• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Terengganu FC Mahu Rampas Satu Piala

KUALA NERUS, 26 Februari - Pasukan Terengganu Football Club (TFC) meletakkan sasaran untuk memenangi satu piala bagi musim 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga ahli lembaga pengarah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) pasukan.

Syarikat Air Terengganu (SATU) menjadi salah satu penaja musim ini.

"Seperti kita sedia maklum, pasukan TFC akan memulakan perjuangan seminggu dari sekarang.

"Jadi, kita mengharapkan momentum sedia ada dengan serba serbi baru, pemain dapat berikan satu persembahan dan permainan yang baik sebagai merealisasikan impian kita seperti dinyatakan tadi iaitu sekurang-kurangnya satu piala kita dapatkan dalam musim 2022," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis memperkenalkan penaja, pemain dan jersi rasmi Terengganu Football Club 2022  di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Terengganu FC mempamerkan jersi utama hitam berkonsepkan tradisional dengan dengan memperkenalkan kegiatan masyarakat Terengganu zaman dahulu khusus nelayan.

Manakala, jersi ganti (alternate) menampilkan warna turquoise dengan sulaman warna biru pada logo pasukan dan jenama.

Jersi dengan tanda harga RM119.00 itu dikhabarkan akan mula dijual dalam seminggu lagi, sebelum saingan Liga Malaysia 2022 dimulakan.

 

 


Tag: