• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Terengganu FC Melangkah Ke Suku Akhir Piala Malaysia

KUALA NERUS, 18 Ogos- Terengganu FC melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2023 setelah menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.

Pada perlawanan berkenaan, Tomislav Steinbruckner menurunkan skuad kedua melayan kunjungan pasukan dari Liga M3 itu setelah menang selesa 4-0 pada pertemuan pertama di Petaling Jaya.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sang Penyu melebarkan agregat jaringan kepada 7-0.

Pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan meletakkan Terengganu FC di depan apabila menolak mudah bola hantaran lintang Safwan Mazlan pada minit ke-31.

Memasuki separuh masa kedua, Liridon Krasniqi yang masuk sebagai pemain gantian me'mati'kan usaha KL Rovers untuk bangkit, apabila menjaringkan gol kedua buat tuan rumah.

Pada minit ke-89, Nor Hakim mencatat jaringan peribadi keduanya dalam perlawanan itu sekaligus menghadiahkan kemenangan selesa kepada Terengganu FC.

Gergasi pantai timur itu bakal menentang pemenang dalam perlawanan di antara Selangor FC dan PDRM FC yang akan berlangsung pada Sabtu.

 


Tag: