• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu FC Menang Tipis Di Laman Sendiri

KUALA NERUS, 14 November-Terengganu FC membawa kelebihan satu gol ke kubu lawan apabila menang tipis 2-1 ke atas Sarawak United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Seawal perlawanan, tuan rumah tangkas menyerang, namun rembatan leret Dechi Marcel pada minit ke-3 tersasar ke sisi gawang pelawat.

Pada minit ke-12, pertahanan Sarawak United, Stuart Wark hampir mengejutkan Terengganu FC dengan tandukan kencang, tetapi Suhaimi Husin lebih tangkas menampan dan mengeluarkan bola dari kawasan gawangnya.

Empat minit kemudian, Mohamad Faisal Halim yang menerima bola dari Marcel menggelecek dua pertahanan sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang menggamatkan stadium untuk gol pertama Terengganu FC.

Gol pertama tuan rumah dibayar mahal apabila pemain tengah, Habib Haroon terpaksa dikeluarkan pada masa sama akibat kecederaan.

Ketinggalan satu gol, anak-anak buah Elavarasan yang lebih banyak bertahan cuba mencatur serangan.

Pada minit ke-21, Tommy Mawat melakukan hantaran lintang dari sebelah kanan mencari Uche Agba, namun Muhamad Shahrul Nizam yang cuba mengeluarkan bola tertanduk ke gawang sendiri menjadikan kedudukan 1-1.

Skuad kendalian Nafuzi Zain terus mengawal permainan.

Bagaimanapun, cubaan menggandakan gol tidak berhasil apabila gol Faisal pada minit ke-41 dinafikan penjaga garisan dan sepakan bebas Jordan Mintah pada masa tambahan hanya mengenai tiang.

Kedudukan kekal pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kenyalang Emas hampir mendahului Sang Penyu, tetapi peluang terbuka disia-siakan Uche Agba.

Pada minit ke-50, Jordan Mintah berjaya mengumpan bola yang disempurnakan Faiz Nasir dengan rembatan kencang untuk gol kedua Terengganu FC.

Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-62, bagaimanapun lorongan Mintah tidak berjaya disudahkan Muhammad Azarul Nazarith.

Pada minit ke-80, hasrat Jordan Mintah mencetak gol terus digagalkan penjaga gol lawan, Mohd Sharbinee Allawee yang cemerlang menepis tolakan leretnya hasil hantaran lintang Engku Muhammad Nur Syakir.

Sepakan percuma Lee Tuck pada minit ke-89 pula hanya menggegarkan palang gol.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

 

 


Tag: