• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu FC Perkemas Aksi Persahabatan Seterusnya

KUALA NERUS, 5 Jun – TFC semalam mencatatkan keputusan seri, 1-1 dalam aksi perlawanan persahabatan dengan Phnom Phenh Crown yang merupakan juara liga di Kemboja.

Pasukan TFC mendapat kelebihan di minit ke-26 apabila Hakimi Abdullah mencetak nama sebagai penjaring bagi mendahului perlawanan.

Dalam separuh masa kedua, TFC dibolosi pemain Phnom Penh Crown pada minit ke-58 melalui Andres Nieto.

Perlawanan kekal dengan jaringan 1-1 sehingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan saling melakukan percubaan ke gawang gol.

Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menegaskan akan memperkemas aksi pasukannya mengharungi baki dua perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan bagi ‘first game’ mereka selepas rehat yang panjang.

“Paling penting kita cuba untuk elakkan kecederaan pemain dan satu perlawanan yang baik bagi kedua-dua pasukan.

"Pasukan kita juga perlu bersedia dengan jadual perlawanan Liga Super yang padat apabila liga disambung nanti,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus.


TFC sehingga kini mempunyai empat perlawanan liga berbanding sembilan perlawanan bagi pasukan lain setelah berlakunya penangguhan perlawanan.

Nafuzi turut berkata, semua pemain import TFC kekal dalam keadaan cergas dan bersedia untuk beraksi di padang.

TFC akan mengharungi lagi dua perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa menentang Phnom Penh Crown (Isnin) serta Balestier Khalsa (khamis) depan yang turut diadakan di SSMZA.

 


Tag: