• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu FC Ratah Juara Bertahan

KUALA NERUS, 12 November - Terengganu FC melangkah selesa ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022 setelah menundukkan Kuala Lumpur City FC 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.

Pada aksi suku akhir kedua itu, Terengganu FC meledak tiga jaringan sekaligus mengukuhkan agregat kepada 4-1 untuk menang selesa berdepan juara bertahan Piala Malaysia itu.

Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong sendiri, anak-anak buah Nafuzi Zain bermula garang mengancam kubu pelawat.

Dua percubaan daripada Tcheche Kipre dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan hampir menjelmakan gol pertama tuan rumah.

Pemain tengah kebangsaan Filipina, Manuel Ott berjaya melebarkan kelebihan agregat kepada dua jaringan apabila meledak gol pertama buat Terengganu FC pada minit ke-21.

Pada minit ke-27, serangan Kuala Lumpur City FC hampir menghasilkan gol apabila rembatan Paulo Josue terbias Pape Diakite, namun berjaya dikeluarkan Mohd Aliff Zakaria.

The City Boys berjaya merapatkan jurang menerusi 'tap in' Muhammad Haqimi Azim Rosli setelah menerima hantaran lintang Paulo Josue pada minit terakhir sebelum separuh masa pertama ditamatkan.

Bersambung babak kedua, Sang Penyu lebih banyak bertahan dari asakan pelawat.

Bagaimanapun, Terengganu FC kembali menjarakkan kedudukan setelah lorongan Manuel Ott 'melepaskan' Kipre berdepan penjaga gol lawan, Kevin Mendoza dalam situasi satu lawan satu.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu mudah menyempurnakan peluang terbuka untuk gol kedua Terengganu FC pada minit ke-62.

Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak memasukkan Romel Morales dan J. Partiban untuk cuba mengubah keputusan perlawanan.

Tetapi, Terengganu FC memadamkan harapan itu dengan mengukuhkan cengkaman kemenangan setelah Kpah Sherman menjaringkan gol ketiga pada minit ke-89.

Jaringan tersebut mengekalkan status penyerang kelahiran Liberia itu sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan tujuh gol.

Terengganu FC akan bertemu Selangor FC di peringkat separuh akhir pada 16 November nanti.

 


Tag: