• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA NERUS, 29 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) sekali lagi mempamerkan semangat untuk mengekalkan kedudukan di Liga Super Malaysia apabila mudah mengatasi Sabah FA 4-0, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, tuan rumah jelas menguasai perlawanan dengan serangan seawal minit kedua oleh kapten pasukan, Lee Tuck  yang ditampan penjaga gol Sabah, Wan Azraie.

Terengganu FC tidak menunggu lama untuk mendahului pelawat.

Pada minit ke-12, rembatan Faiz Nasir hasil hantaran silang pemain muda, Mohd Syafiq Ismail ditampan pertahanan lawan muntah di kaki Dominic Da Silva yang mudah menolak masuk bola ke gawang Sabah.

Terkejut dengan gol tersebut, Sabah cuba mengatur serangan namun benteng anak didik Nafuzi Zain kemas menghalang bola dari gawang pasukan.

Terengganu terus menggandakan asakan, hasilnya pada minit-43, Sanjar Shaakhmedov menyudahkan lorongan Lee Tuck untuk tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0.

Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sabah menukar corak permainan dengan memasukkan Mickeal Kassy Guy dan Maxsius Musa.

Namun, beberapa serangan pelawat berjaya dipatahkan tuan rumah.

Pada minit ke-70, Dominic berjaya mengumpan bola leret kepada Faiz namun kuisannya ditampan Wan Azraie, bagaimanapun bola muntah tersebut berjaya disudahkan Sanjar untuk gol kedua peribadinya malam ini.

Terengganu FC terus mengatur serangan, kali ini pemain gantian, Faris Ramli menyumbat mudah ke gawang Sabah setelah menerima bola dari Lee Tuck hasil lorongan sempurna Dominic menjadikan kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: