• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu FC Sah Lepas Semua Pemain Import

KUALA TERENGGANU, 24 November - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengesahkan semua lima pemain import pasukan itu musim ini tiada lagi dalam senarai bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata semua pemain terbabit dilepaskan selepas dipanggil berbincang bersama walaupun pasukan masih memerlukan khidmat dua daripada mereka.

"Ya, kita sudah membuat keputusan tidak menyambung kontrak lima pemain import berkenaan bagi menghadapi saingan Liga M dan Piala AFC musim depan. Keputusan ini dibuat selepas perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan dan jurulatih.

"Sebab utama kontrak mereka tidak disambung adalah berkaitan dengan perancangan pasukan dan faktor kewangan," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata pihaknya sebenarnya masih berminat menggunakan khidmat bekas kapten pasukan, Lee Tuck dan pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov namun terpaksa dilepaskan akibat kekangan kewangan.

"Musim depan kita menyasarkan penjimatan perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus. Sebab itu kita perlu mengambil pemain berdasarkan kemampuan kewangan kita bagi mengelak masalah lain timbul," katanya.

Dengan perkembangan itu bermakna pemain kelahiran Shaakhmedov dari Uzbekistan dan Babacar Diallo (Senegal) mengikut jejak Tuck (England), Muhammad Faris Ramli (Singapura) dan Dominique Da Sylva (Mauritania) tidak disambung kontrak.

Difahamkan Tuck bakal diikat pasukan Pahang selama dua musim manakala Shaakhmedov pula menerima tawaran daripada kelab di Korea Selatan dan tiga lagi belum dikenalpasti. - Berita Harian.


Tag: