• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu FC Sekadar Kutip Satu Mata

KUALA TERENGGANU, 7 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengikat Sri Pahang FC 1-1 untuk membawa pulang satu mata dalam aksi ketujuh Liga Super 2021, semalam.

Skuad kendalian Nafuzi Zain berkunjung ke Kuantan menentang pasukan kedua tercorot liga dengan misi memperbaiki persembahan pasukan selepas aksi kurang menyakinkan pada tiga perlawanan terakhir.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan rentak tinggi. Sri Pahang mendapat peluang mendahului, namun rembatan Lee Tuck berjaya ditepis penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin seawal minit kelima.

Pada minit ke-15, Sang Penyu pula memiliki peluang, bagaimanapun rembatan Nik Akif Syahiran hanya menerjah sisi gol.

Dua minit kemudian, tuan rumah mengejutkan pelawat selepas tonggak kebangsaan, Azam Azih melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti sekali gus meletakkan Tok Gajah di depan.

Terengganu FC berpeluang menyamakan kedudukan, namun kapten pasukan, Carlos De Murga mensia-siakan penalti dengan tendangan tinggi melepasi palang pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC menggandakan asakan dan berhasil memperolehi penalti kedua pada minit ke-75. Jordan Mintah menyempurnakan peluang tersebut untuk keputusan 1-1 yang kekal sehingga akhir perlawanan.

Sumber foto: Media Terengganu FC.


Tag: