• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu FT Tempah Laluan Sukar Ke Separuh Akhir

KUALA TERENGGANU, 10 Julai- Terengganu Futsal Team (Terengganu FT) menempah laluan sukar ke separuh akhir apabila tewas 1-4 kepada Selangor MAC FC pada aksi suku akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 pada Sabtu.

Beraksi di Stadium Negeri, di sini Selangor MAC terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan menerusi Aidil Shahril Rosli pada minit ke-16.

Terengganu FT bagaimana pun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Supakorn Sangom, dua minit kemudian untuk mengheret keputusan seri sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pelawat melebarkan jurang dengan dua jaringan penyerang import, Ali Ebrahimi pada minit ke 21 dan 31.

Aidil Shahril Rosli kemudian menoktahkan kebangkitan Terengganu FT dengan gol keempat pelawat pada minit ke-3.

Keputusan kekal 1-4, menyaksikan tugas berat menanti Terengganu FT apabila berkunjung ke Shah Alam, 15 Julai ini.

Lebih-lebih lagi setelah kehilangan kapten pasukan, Tengku Azraf Fahimi yang dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Nurul Atikah Janah.

Ketua jurulatih, Rozairi Ahmad menyifatkan kekalahan semalam merupakan sesuatu yang perit untuk dihadam.

"Kita bermain baik pada separuh masa pertama, tetapi pada separuh masa kedua, berlaku perubahan ketara terhadap mental apabila Selangor MAC dapat gol awal.

"Apa yang berlaku ada kesan dari mutu pengadilan sebenarnya, saya sendiri tengok tadi pengadil banyak membunuh perlawanan dan kekecohan malam ini berpunca darinya sejak awal lagi," katanya.

Namun, beliau percaya kebangkitan mampu dijelmakan dalam aksi kedua minggu depan.

"Kita ada lebih kurang seminggu lagi dan akan cuba sebaik mungkin. Tugas memang berat tetapi apapun boleh berlaku kerana saya percaya pada pasukan dan kita akan 'prepare' sebaik mungkin.

"Kita akan pergi ke 'away', jadi semestinya Selangor MAC akan 'stand by' dan apa yang berlaku malam ini, kita mungkin akan hadapi tekanannya di sana nanti," katanya.

 


Tag: