• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Gerakkan Kempen 'Cakna Penyu'

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri menggerakkan kempen Cakna Penyu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya memelihara haiwan ikonik yang menjadi salah satu tarikan utama pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kempen berkenaan mampu menimbulkan rasa bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga penyu yang semakin mengalami kepupusan.

"Ia juga untuk menghebahkan kepada masyarakat tentang penguatkuasaan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) mengenai pengharaman penjualan serta memiliki telur semua jenis penyu yang telah dikuatkuasakan bermula pada 1 Jun baru-baru ini.

"Kerajaan juga tidak membenarkan apa jua aktiviti pelancongan yang membabitkan penyu sama ada menyentuh, berenang bersama, memberi makan kepada haiwan tersebut dan sebagainya kerana dalam Seksyen 7A (11) Enakmen Penyu 1951 juga memberi peringatan tiada sesiapa boleh mengiklan, mempromosi atau mempamerkan penyu dan telurnya dalam apa-apa bentuk medium kecuali bagi tujuan pemuliharaan dan mendapat kebenaran.

"Beberapa pindaan kepada larangan memiliki telur penyu ini juga telah dinaikkan kadar dendanya dari RM3,000 ke RM50,000 sehingga RM250,0000 atau penjara tidak kurang dari satu tahun atau kedua-duanyanya sekali," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Penyu Negeri Terengganu 'Cakna Penyu' di Galeri Jambatan Angkat (Drawbridge), di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat serta Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.

Kata Dr Azman, kerajaan negeri juga konsisten mengadakan penguatkuasaan bagi menangani masalah kematian penyu yang berlaku saban tahun. 

Laporan kematian penyu bagi tahun ini sejak Januari hingga Jun dilaporkan sebanyak 41 ekor.

Jabatan Perikanan turut mengambil inisiatif mengadakan rondaan di laut melalui Ops Penyu bagi mengesan penggunaan pukat tunda, pukat pari dan penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED).

Operasi tersebut telah membawa kepada kejayaan menahan tiga buah bot yang salah satunya ditemui penyu terperangkap dalam pukat tunda.

"Bagi usaha memelihara ikon negeri Terengganu ini juga kerajaan membelanjakan lebih RM500,000, iaitu belanja mengurus sebanyak RM400,000 bagi membayar upah kepada pekerja penyu, pembelian telur penyu daripada pemajak manakala sebanyak RM240,000 diperuntukkan untuk pembangunan telah disalurkan kepada Jabatan Perikanan untuk menaiktaraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang," ujarnya.

Selain itu menurut beliau, kerajaan persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM210,000 untuk pengurusan penyu dan pembaikian hatcheri di negeri ini.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada kesemua rakan strategik kita membabitkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lang Tengah Turtle Watch, World Wide Fund (WWF), FUZE ECOTEER, Kapas Community, Bubble Dive dan Terengganu Silica yang telibat bersama kerajaan negeri untuk sama-sama menyumbang usaha ke arah memelihara spesies penyu di negeri ini," ujarnnya.

Pihak kerajaan negeri turut berharap agar masyarakat bersama-sama mengurangkan ancaman kepada penyu termasuk tampil membuat laporan kepada jabatan jika ada menjumpai penyu mati, kecurian telur, mendarat di luar kawasan jagaan jabatan, jika terperangkap dalam jaring bebaskannya kembali ke laut tanpa mencederakannya.