KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Kerajaan negeri melalui kolaborasi bersama Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Iman Care mengagihkan 100 set kelengkapan persekolahan kepada setiap wakil Pusat Khidmat Masyarakat seluruh negeri untuk disalurkan kepada pelajar asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, setiap murid menerima set kelengkapan bernilai RM50 mengandungi beg sekolah serta bekas makanan dan minuman, hasil sumbangan pelbagai pihak dengan kos keseluruhan RM160,000.
“Seramai 3,200 pelajar asnaf akan menerima manfaat menerusi Majlis Sumbangan Kebajikan ‘Back To School’ Dengan Kerjasama Iman Care ini dalam usaha membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menghadapi sesi persekolahan baharu.
"Terima kasih kepada penyumbang yang prihatin dan kita turut menggalakkan setiap DUN untuk menambah lagi kelengkapan persekolahan lain bagi menaikkan semangat pelajar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan ‘Back To School’ Dengan Kerjasama Iman Care kepada wakil 32 Pusat Khidmat Masyarakat DUN di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor.
Maliaman berkata, inisiatif berkenaan adalah komitmen kerajaan negeri dengan kerjasama NGO untuk meringankan beban keluarga asnaf dan memastikan pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lengkap.


