• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Terengganu Inc Kekal Prestasi Kewangan Memuaskan

Ahmad Razif  (lapan dari kiri)bergambar kenangan dengan semua pemenang di Majlis Terengganu Inc Group Excellence Award 2017 di Duyong Marina Convention Centre, Pulau Duyong, Kuala Nerus. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), masih merekodkan cerita kejayaan walaupun harga minyak jatuh sekali gus memberi kesan kepada kelembapan ekonomi dunia.

Walaupun pendapatan kumpulan merosot daripada RM1 billion pada 2015 kepada RM960 million pada 2016, TI kekal merekodkan prestasi kewangan yang memuaskan terutamanya menerusi sektor perdagangan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sumbangan pendapatan utama daripada Kumpulan TDM dan Ladang Rakyat mendorong peningkatan pendapatan sektor perladangan sebanyak RM640 juta pada 2016 berbanding RM629 juta pada 2015.

“Di peringkat entiti pula, TI mencatatkan peningkatan pendapatan dividen sebanyak 23 peratus sekali gus mengumpul keuntungan sebelum cukai berjumlah RM26 juta. Prestasi kewangan Kumpulan TI yang memberangsangkan di sebalik landskap ekonomi yang tidak menentu, mencerminkan asas yang kukuh. Ianya juga disebabkan oleh strategi pengurangan risiko melalui kepelbagaian pelaburan.

“Tahniah saya ucapkan. Marilah kita berikan satu tepukan gemuruh kepada semua yang telah menyumbang ke arah cerita kejayaan ini,”katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Terengganu Inc Group Excellence Award 2017 di Duyong Marina Convention Centre, Pulau Duyong, Kuala Nerus, malam tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, sempena malam penghargaan kepada pekerja dan bagi meraikan kecemerlangan dalam syarikat, beliau berkongsi satu kisah yang memberi inspirasi kepadanya.

Katanya, pada 1929 terjadinya ‘The Great Depression,’ di mana ketika itu, seluruh dunia mengalami kemelesetan ekonomi. Syarikat gergasi di Amerika Syarikat seperti General Motors pada masa itu, terpaksa membuang separuh daripada pekerjanya akibat kemelesetan ekonomi dan banyak perusahaan besar terpaksa gulung tikar dan bankrap.

Katanya, ramai yang kelaparan. Mana-mana perniagaan yang masih bertahan terpaksa menghentikan pembelian daripada kilang-kilang pembuatan. Ini adalah kerana, gudang mereka telah penuh dengan barangan yang tidak terjual.

Manakala, Konosuke Matsushita, pencipta barangan elektrik jenama National dan  Panasonic tekun mendengar laporan ekonomi yang semakin buruk.



“Matsushita kemudiannya mengeluarkan arahan supaya dikurangkan pengeluaran kilang kepada separuh daripada biasa. Tetapi pekerja kilang jangan diberhentikan atau dibuang. Sebaliknya para pekerja diminta untuk bekerja di kilang selama setengah hari sahaja dan pekerja perlu bekerja pada setiap hari.

“Gaji yang diterima pekerja adalah sama seperti yang mereka terima sekarang. Matsushita juga meminta semua pekerja untuk bekerja dengan tekun dan sebaik mungkin, serta berusaha untuk menjual semua barang-barang yang ada di gudang.

Tambahnya, pendirian Matsushita yang mengutamakan kebajikan para pekerja menunjukkan betapa besarnya jiwa beliau apabila ramai pemilik syarikat terpaksa memberhentikan pekerja mereka, Matsushita mengambil pendekatan yang luar kezaliman apabila tidak memberhentikan pekerjanya sebaliknya, beliau membuat sedikit pengubahsuaian demi memastikan pekerjanya tidak diberhentikan.





Tag: