• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Inc Salur RM300,000 Bagi Projek Pelaburan Pendidikan Bersama UniSZA

KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi kerjasama strategik dalam 'Terengganu Inc - UniSZA Islamic Investment Project', hari ini.

MoA itu ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanudin Hilmi Mohamed dan UniSZA diwakili Naib Canselornya, Prof Dr Fadzli Adam sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Burhanudin berkata, kolaborasi strategik akan dilaksanakan di bawah pengurusan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UniSZA dalam tempoh tiga tahun mulai hari ini.

"Pelaburan pendidikan sebanyak RM300,000 akan memfokuskan beberapa sub-sektor utama meliputi penyelidikan, pelantikan profesor pelawat, program tanggungjawab sosial dan penerbitan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian berkenaan di Hotel Grandcontinental, disini.

Katanya, antara kawasan potensi yang bakal diterokai menerusi penyelidikan seperti kesan COVID-19 sektor perniagaan dalam kumpulan Terengganu Inc dan cara mengatasi cabaran untuk mengekalkannya sebagai cabang pelaburan negeri yang mampan serta patuh syariah.

Tambahnya lagi, produk pelancongan dibawah urusan kumpulannya seperti Tasik Kenyir juga diterokai menerusi perangkaan inisiatif, program, aktiviti, produk dan perkhidmatan tempatan yang boleh dibangunkan dan dipupuk sebagai 'Community Based Tourism' (CBT).

Dalam pada itu, Prof Dr Fadzli menjelaskan, terdapat dua projek penyelidikan telahpun bermula, iaitu 'Shariah Governance Framework' dan 'Shariah Based Intercompany Financing.

"Usaha awal ini membuktikan komitmen yang amat tinggi di kedua belah pihak bagi memacu kecemerlangan yang disasarkan demi manfaat semua pihak pemegang taruh," jelasnya. 

Beliau turut berharap agar pelaksanaan itu dapat membantu kadar literasi pelaburan
berteraskan Islam dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat menerusi ucapannya berkata, usaha kedua-dua pihak tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan penghayatan dan penguatkuasaan hukum agama Islam secara mendalam dalam pelbagai sektor termasuk bisnes, ekonomi dan pendidikan.

"Terengganu juga akan memastikan semua aktiviti urusniaga dan kewangan melibatkan anak syarikat milik kerajaan negeri mesti patuh syariah. Jika anak syarikat ini perlukan pinjaman, mestilah pinjaman yang patuh syariah," katanya.

Terdahulu, sebanyak RM40,000 daripada jumlah sumbangan juga disalurkan bagi pembiayaan pembangunan Terengganu Inc Business Incubator sebagai platform mengasah kemahiran usahawan di kalangan pelajar UniSZA.