Graduan Perlu Tingkat Kemahiran Bagi Penuhi Keperluan Industri
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menyantuni 150 pelajar asnaf dan kurang berkemampuan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Back to School 2025’ di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata program tersebut merupakan salah satu usaha untuk memastikan setiap pelajar mendapat peluang tanpa terbeban dengan kekangan kewangan.
Menurutnya, sebagai syarikat pelaburan utama negeri, pihaknya menyedari kepentingan pendidikan dalam membentuk masa depan yang lebih cerah.
” Program ’Back to School 2025’ ini menzahirkan keprihatinan Terengganu Inc terhadap keperluan persekolahan anak-anak daripada keluarga asnaf, malah turut mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah serta komuniti setempat.
“Inisiatif ini menjadi platform bagi Terengganu Inc untuk mendekati komuniti setempat secara lebih dekat dan memahami keperluan sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Terengganu Inc akan terus memperkukuh peranannya dalam membantu komuniti dengan tujuan membantu mereka membuat persediaan bagi sesi persekolahan yang akan datang.
“Pelajar-pelajar akan menerima kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam sekolah, tudung, beg sekolah serta wang saku bagi membuat persiapan persekolahan bagi sesi persekolah 2025.
“Kami berharap sumbangan ini dapat memberikan mereka semangat untuk menimba ilmu dengan lebih yakin dan selesa,”ujar beliau.