KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Terengganu Incorporated (TI) Sdn. Bhd. menyasarkan untuk meraih pendapatan RM2.2 bilion bagi tahun 2025, peningkatan ketara sebanyak RM400 juta berbanding tahun sebelumnya.
Syarikat pelaburan milik kerajaan negeri itu turut meletakkan sasaran keuntungan selepas cukai sebanyak RM150 juta bagi tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, menegaskan bahawa target bukan sekadar angka, tetapi merupakan refleksi kepada komitmen TI untuk mengembalikan manfaat kepada negeri dan rakyat Terengganu.
"Kita bukan hanya mengejar keuntungan, tetapi juga memastikan sebahagian besar daripadanya dikembalikan kepada rakyat melalui program sosial dan pembangunan negeri," katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2024 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut Burhanuddin, dalam usaha menyokong golongan yang memerlukan, TI telah memperuntukkan RM8 juta bagi bayaran zakat pada tahun ini.
Menariknya kata beliau, satu perlapan daripada jumlah itu, iaitu RM1 juta, akan digunakan sebagai biasiswa pendidikan, manakala RM2 juta diperuntukkan khusus untuk biasiswa bagi tahun 2025 dan 2026.
"Kami sedar tanggungjawab kami bukan hanya sebagai entiti perniagaan, tetapi juga sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
"Inisiatif biasiswa ini adalah salah satu cara kami membalas semula kepada masyarakat," ujarnya.