• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Inc Sasar Tanam 400,000 Pokok Tahun 2023

KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Kumpulan Terengganu Inc (Kumpulan TI), menyasarkan penanaman sehingga 400,000 pokok bagi tahun 2023, selari dengan Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Kemampanan.

Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, Terengganu Inc telah berjaya menanam sebanyak 173,220 pokok sejak 2021 iaitu 25 peratus dari jumlah pokok yang ditanam di seluruh negeri hasil kerjasama anak-anak syarikat Kumpulan TI.

"Melalui program hari ini, setiap kakitangan Kumpulan TI digalakkan untuk menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok serta merekodkan setiap pokok yang ditanam ke dalam aplikasi 'Penghijauan Malaysia' digerakkan oleh Kementerian Tenaga & Sumber Asli (KeTSA).

"Ia sebagai tanda sumbangan dan sokongan terhadap kempen yang sedang dilaksanakan di peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program 'One Tree One Staff' peringkat Kumpulan TI di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, hari ini.

Dalam program yang dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak itu, turut melibatkan kerjasama Rakan Strategik Toknikal (Perhutanan) iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) selaku pelaksana Environmental bagi agenda Penghijauan Malaysia.

Sebanyak lima batang pokok oleh UPEN dan anak-anak syarikat Kumpulan TI iaitu Asam Gelugur yang ditanam Tun Ahmad Faisal, Sentol (Pengarah Kumpulan TI), Tampoi (Golden Pharos Berhad), Longan Sarawak (KMI) Kundang (JPNT).

Program anjuran Kumpulan TI bersama Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd (KPKKT), anak syarikat milik penuh Golden Pharos Berhad itu menterjemahkan salah satu komitmen TI dalam mengintegrasikan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) 2030 selari dengan agenda kelestarian Terengganu Inc melalui pendekatan Sustainability. 

 


Tag: