• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Inc Tarik Pelabur Menerusi Projek Berimpak Tinggi

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Syarikat induk pelaburan strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc, tekad menarik para pelabur dan mengembangkan landskap ekonomi negeri menerusi peluang pelaburan dalam pelbagai projek seperti projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Utara.
 
Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, konsep bandar terusan seluas 200 ekar itu merupakan konsep pembangunan tercanggih sepanjang 1.4 kilometer terletak di pesisir pantai Kuala Terengganu.

"Oasis bandar tersebut menyediakan pelbagai potensi ekonomi melalui pembangunan infrastruktur seperti pejabat, kawasan perumahan, lot kedai dan lain-lain lagi.

"KTCC Utara dijangka mampu menampung lebih 50,000 orang di kawasan perumahan, pusat hiburan dan ibu pejabat institusi awam atau swasta.

“Projek yang dihubungkan dengan mercu tanda ikonik iaitu Jambatan Angkat KTCC ini mempunyai pelbagai potensi serta nilai komersial yang belum diterokai,” katanya dalam satu kenyataan pada majlis Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Invest Series Terengganu di MIDA Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, antara kelebihan komersial projek KTCC Utara seperti lokasi strategik meliputi pasaran pengguna pantai timur, kesediaan infrastruktur serta kemudahan logistik (berhampiran Lapangan Terbang Kuala Terengganu).

Dalam usaha menyokong hasrat kerajaan negeri, Terengganu Inc amat mengalu-alukan penyertaan pelabur menerusi komitmen penuh dalam memudahkan proses menjalankan perniagaan serta mempergiatkan promosinya penggiat industri pelaburan.

Antara prospek pelaburan disediakan oleh Terengganu Inc ialah hab perindustrian berkeluasan 1,007 ekar, Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) yang dibangunkan pada model ‘plug and play’ supaya pelabur dapat menjalankan operasi dengan lebih efisyen.

Peluang perniagaan lain juga termasuk pengembangan Pelabuhan Kemaman sebagai pintu masuk baharu ke Rantau Asia Pasifik, dengan 600 tersedia berhampiran Teluk Kalong.

"Peringkat pertama pembesaran pelabuhan akan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo di Dermaga Timur daripada 12 juta tan kepada 32 juta tan.

"Terengganu Inc juga akan kekal komited dengan kapasiti dan kekuatan yang ada dalam usaha menyumbang serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu demi memanfaatkan pelaburan untuk rakyat," katanya.


Tag: