• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Inc Tekankan Pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM

KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) sentiasa menekankan pemahaman serta pematuhan terhadap Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (pindaan 2018) dalam operasi kumpulan terbabit bagi gerak kerja berjalan lancar dan berintegriti.

Presiden dan Pengarah Eksekutif, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, seksyen 17(A) merujuk kepada kesalahan oleh organisasi komersial yang boleh didakwa dan dihukum sekiranya kakitangan mereka melakukan kesalahan rasuah.

Katanya, pelbagai perkara telah dipelajari lebih 200 barisan ahli lembaga pengarah daripada lebih 100 buah syarikat tentang tanggungjawab, tugas dan masalah yang timbul jika tidak mematuhi akta tersebut.

“Impak perubahan sistem percukaian dan krisis ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dan bisnes perlu berubah mengikut arus ini.

“Kita yakin dengan Perancangan Strategik Perniagaan 2022 yang optimis serta momentum kejayaan mengharungi pandemik ini, akan menghasilkan peningkatan pendapatan lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pengarah-Pengarah Korporat Kumpulan Terengganu Inc 2022, Duyong Marina, petang semalam.

  
Menurut beliau, antara perancangan pada tahun ini adalah melaksanakan pengoperasian pusat peranginan di Pulau Poh, Kenyir dan projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) utara di bawah kerajaan negeri, Unit Perancangan Ekonomi Negara (UPEN) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Jelas Burhanuddin, pihaknya turut merancang untuk menyediakan lebih 400 peluang pekerjaan dengan keutamaan pada orang tempatan menerusi kekosongan di dalam GLC lain seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT).

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Terengganu Inc, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam majlis penutup program tersebut termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (MMKN) dan barisan Ahli Lembaga Pengarah daripada pelbagai GLC negeri.

Acara tertutup tahunan tersebut telah diadakan selama sehari bersama penceramah-penceramab jemputan yang merangkumi pelbagai perkara terutamanya tanggungjawab Pengarah syarikat menerusi sesi forum bertajuk 'Meningkatkan Tadbir Urus dan Kepimpinan : Dalam Suasana Pasca Pandemik'.