• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Incorporated Lakukan Penjajaran Semula Bersama Agensi Kerajaan Negeri


Terengganu Incorporated Sdn Bhd berjaya melakukan Penjajaran Semula (RE) bersama agensi-agensi kerajaan negeri yang terpilih dalam menjayakan transformasi ekonomi.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, RE tersebut merupakan gerak kerja fasa kedua dan satu kesinambungan daripada 'Reorganization Exercise' iaitu gerak kerja fasa pertama yang telah dilaksanakan serta ditandatangani pada 1 Mac lalu.

Katanya, RE peringkat pertama tersebut melibatkan enam agensi negeri iaitu Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), Menteri Besar Incorporated, Terengganu Inc, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Yayasan Terengganu (YT), dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

"Dalam konsep ini, kita akan lakukan pertukaran dalam kepakaran masing-masing dan juga melakukan transformasi sekaligus dapat saling bantu membantu kerana ingin memaksimumkan pulangan daripada pelaburan yang dilakukan.

"Kepada jabatan-jabatan lain, kita akan lihat dari semasa ke semasa kerana RE ini akan dibuat secara keseluruhan kerana buat masa sekarang kita sedang membuat analisa untuk gabungkan syarikat-syarikat ini supaya mereka akan berada dalam kapasiti yang lebih besar," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani 'Heads of Agreement' diantara Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Agensi-agensi Kerajaan Negeri Terengganu di Grand Hyatt, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato' Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Sementara itu, Razif ketika berucap berkata 'Head of Agreement' dapat mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara agensi dalam memastikan RE itu berjaya seterusnya merealisasikan transformasi ekonomi negeri.


Tambahnya, perlaksanaan RE tersebut akan memberi ruang proses kluster mengikut industri itu dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekaligus mewujudkan sinergi antara industri serta memberi pulangan pelaburan yang lebih tinggi.

Tag: