• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

Terengganu Juara, ‘Bedal’ Ego UniKL

KUALA LUMPUR, 3 April - Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menjuarai Piala TNB 2021 tercapai selepas membenam cabaran UniKL dalam penentuan penalti ‘shoot-out’ 2-0 sebentar tadi.

Penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman muncul wira THT selepas menafikan semua pukulan penalti UniKL di samping Terengganu berjaya meledak dua gol daripada empat pukulan.

Lebih manis Mohd Faizal Saari serta Shahrun Nabil Abdullah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dan pemain terbaik perlawanan.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta itu, UniKL terlebih dahulu meledak gol pada minit ke-9 menerusi biasan menarik Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dalam kotak penalti THT.

Berselang empat minit kemudian, Tengku Ahmad Tajuddin sekali lagi menjadi duri dalam daging Terengganu apabila menyempurnakan pukulan penalti ‘stroke’ untuk kedudukan menjadi 2-0.

Tersentak dengan dua gol awal itu, THT memperkemaskan jentera pasukan dan membuahkan hasil apabila pada minit ke-15 Faizal Saari bijak memanfaatkan kelekaan penjaga gol UnikL.

Luqman mudah melepasi halangan pemain UniKL.

Jaringan terbabit ternyata menyuntik semangat pemain THT, hasil serangan bertali arus pada minit ke-17 pasukan pantai timur itu dihadiahkan pukulan sudut penalti dan Muhammad Arif Syafie Ishak tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Perlawanan terus berlangsung rancak apabila kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan, namun tuah lebih memihak THT.

Pada minit ke-21, gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook menutup tirai separuh masa pertama untuk kelebihan satu jaringan kepada Terengganu.

Bersambung babak kedua, UniKL menukar strategi apabila membuat penguasaan di bahagian tengah, hasilnya mereka mendapat pukulan sudut penalti dan ia disempurnakan Muhammad Razie Abd Rahim di minit 35.

Gol itu tidak melemahkan semangat THT untuk menjulang piala TNB buat kali ke-6 apabila Faizal Saari sekali lagi mencetak gol selepas berjaya memperdayakan pertahanan UniKL.

Namun, kelekaan pemain THT Sembilan minit sebelum perlawanan tamat membawa padah apabila gerakan solo Mohamad Ashran Hamsani dari luar kotak penalty berjaya disudahkan pemain itu bagi mengikat keputusan 4-4 dan membawa ke penentuan penalti 'shoot-out'. Foto ihsan - Hokita.

Faizal Saari dikawal ketat pemain UniKL.

 


Tag: