• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Kecewa 'Ratu Pecut' Digugurkan Daripada Sukma 2022

KUALA TERENGGANU, 14 April - Terengganu akan terus mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) bagi membolehkan pelari pecut, Azreen Nabila Alias beraksi di temasya sukan itu nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan terbaru yang diputuskan mesyuarat jawatankuasa tersebut susulan pembatalan kelayakan atlet itu atas alasan beliau telah menyertai sukan Olimpik di Tokyo, tahun lalu.

"Kami berpandangan pengguguran Azreen Nabila sebagai atlet Sukma adalah satu penafian terhadap haknya kerana pemilihan beliau mewakili negara adalah berdasarkan tiket 'wild card', bukannya secara merit.

"Pada peringkat awal, beberapa negeri menyokong (penyertaan Azreen Nabila ke Sukma 2022). Tetapi, setelah dibawa ke mesyuarat pengarah-pengarah majlis sukan negeri, ia dibincangkan kembali di peringkat jawatankuasa tertinggi Sukma," katanya.

Menurut Wan Sukairi, pihaknya juga telah mengemukakan rayuan dan justifikasi tentang perkara berkenaan dalam beberapa siri mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, tetapi ditolak.

Wan Sukairi ketika program iftar bersama atlet-atlet Sukma Terengganu, baru-baru ini.

"Kita sedia maklum, menjadi impian semua atlet untuk ke Olimpik. Kalau kita halang dia (Azreen Nabila) ke sana dulu, ia adalah satu tindakan kejam kepada beliau.

"Setakat ini keputusan jawatankuasa tertinggi masih tidak membenarkan, tetapi kita lihat apa lagi yang boleh dibuat dan ruang yang ada untuk memastikan pelumba pecut kita beraksi," katanya.

Azreen Nabila merupakan pemegang rekod Sukma bagi acara 100M dengan catatan 11.81s. Selain itu, beliau turut memecahkan rekod peribadinya apabila mencatatkan masa 11.77 saat dalam pusingan kelayakan 100m wanita di Sukan Olimpik, baru-baru ini.

 


Tag: