Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Terengganu Kembali Dilanda Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Disember -Terengganu kembali dilanda banjir tidak sampai 24 jam penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah yang terjejas.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata sehingga jam 7 pagi tadi, sembilan PPS dibuka di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman.
Tambahnya, hujan lebat berterusan sejak petang semalam dan fenomena air pasang besar turut mengakibatkan sebahagian besar Bandaraya Kuala Terengganu digenangi air dan beberapa jalan utama ditutup.
"Sebanyak 10 PPS melibatkan seramai 490 mangsa daripada 135 keluarga mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi.
"Daerah Marang merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 166 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kenaikan drastik paras air laut susulan julat hujan lebat terlalu banyak turut menyebabkan sebahagian bandaraya digenangi air disebabkan oleh fenomena air pasang besar.
"Mengikut maklumat daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), julat hujan yang turun tengah malam tadi dalam masa enam hingga lapan jam di antara 170 ke 180 milimeter (mm) yang mana sangat banyak untuk tempoh berkenaan.
"Kebiasaan dalam tempoh sebulan, julat hujan yang turun antara 200 hingga 280 mm dan kali ini implikasi dari komposisi hujan yang sangat banyak menyebabkan sebahagian besar Bandaraya Kuala Terengganu digenangi air," katanya.
Tambahnya lagi, aliran air tidak dapat mengalir semula ke laut dengan lancar terutama waktu puncak air pasang besar dan ia mula surut selepas tempoh berkenaan.