• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Kesan Kes Pertama Varian Delta

KUALA NERUS, 28 Julai - Terengganu mengesan kes pertama varian Delta yang disahkan positif baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkembangan itu amat membimbangkan.

Justeru, beliau menyeru seluruh penduduk Terengganu supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan khususnya apabila muncul varian yang berasal dari India itu.

“Katakan pertemuan kita dalam masa lima saat pun, ia boleh menjangkiti orang lain dan jangkitannya adalah melalui udara berbanding Varian sebelum ini yang hanya boleh dijangkiti melalui titisan air liur dan seumpamanya.

"Dulu kita kata, jarak satu meter sudah cukup, tapi apabila virus melalui udara kita kena jarak sekurang-kurangnya tiga meter memandangkan varian tersebut boleh masuk di mana sahaja bahagian muka, samada hidung, mulut, atau mata walaupun memakai pelitup muka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

Tambah beliau, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga masih menunggu beberapa lagi keputusan 'Genome Test' dari Kuala Lumpur bagi menentukan jenis varian apa selepas hasil pemeriksaan.

"Kita harap tidak ada lagi kes varian baharu seperti ini insya-Allah.

"Oleh itu, suka saya nasihatkan orang ramai, sekiranya tiada urusan penting jangan keluar rumah melainkan jika terpaksa pastikan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi," ujarnya.

Setakat hari ini, Terengganu mencatatkan 490 kes positif baharu dan 2,357 kes masih dalam rawatan serta satu kes kematian harian.