• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu, Korea Bincang Peluang Pelaburan REE

KUALA LUMPUR, 1 Februari - Kerajaan Negeri bersama wakil-wakil dari pihak Star Group Industry Co. Ltd (SGI), Korea Selatan mengadakan pertemuan bagi membincangkan tentang peluang kerjasama pelaburan di Terengganu khususnya dalam sektor berkaitan unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama yang bakal dijalin kelak difokuskan bagi pendapatan baharu kepada kerajaan negeri.

“Doakan agar kerjasama ini berjalan lancar sekali gus membuka peluang pendapatan baharu kepada negeri kita untuk memberi manfaat buat semua, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya selepas pertemuan itu yang bertempat di Le Méridien Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Ahmad Samsuri berkata dengan pertemuan ini persetujuan asas ke arah proses 'mid and down stream' (hiliran) di negeri Terengganu bakal diwujudkan.

Terdahulu, beliau berkata Kerajaan negeri akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak.

Katanya, pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi.

Untuk rekod, Terengganu dikatakan mempunyai sumber REE terbesar di Malaysia.

Mengikut kajian yang dilakukan REE terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 581,735 hektar dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 juta tan.


Tag: