• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Lahir 47 Usahawan U-GATES, 114 Peluang Pekerjaan Tersedia

 

KUALA TERENGGANU, 3 September - Kerajaan negeri berjaya melahirkan 47 usahawan muda dengan menawarkan 114 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sejak program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) diperkenalkan dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, melaluinya sejumlah RM4.5 juta nilaian jualan mampu dicatatkan oleh mereka yang terlibat.

Katanya, semuanya hasil bimbangan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) bersama beberapa ahli  perniagaan terkenal sebagai mentor.

“Apa yang membanggakan ada di antara mereka mampu memperoleh pendapatan RM3,000 sehingga RM15,000 sebulan.

“Pada masa sama mampu menawarkan dua hingga lima peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam pelbagai sektor. Antaranya ada yang mengusahakan, bidang makanan, asas tani, tekstil, kraf tangan, pelancongan, kesihatan, komestik, perkilangan, industri kreatif dan pembuatan,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Program Graduan Usahawan Terengganu (PUGT)  di Hotel Grand Puteri, di sini petang semalam.

Tambah beliau, program sama akan diteruskan dengan pengambilan 30 graduan lepasan diploma dan ijazah dalam tempoh terdekat.

“Setiap graduan terpilih akan diberi latihan selama setahun dan berpeluang mengikuti kursus serta mempelajari ilmu-ilmu keusahawanan darIpada mentor di kalangan usahawan.

“Selepas itu akan terus diberi bimbingan selama tiga tahun supaya benar-benar mampu berdikari untuk menjalankan perniagaan masing-masing,” katanya.

 


Tag: