• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Laksana 486 Proses Nyah Cemar Sepanjang PKP

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu memaklumkan, sebanyak 486 proses nyah cemar (sanitasi) telah dilakukan di seluruh negeri itu.

Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, pelaksanaan proses tersebut bermula sejak 30 Mac lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinga ke hari ini.

"Bagi negeri ini, daerah Kemaman paling banyak proses nyah cemar melibatkan 130 lokasi, diikuti Kuala Terengganu dengan 116 lokasi.

"Sanitasi ini kita bagi tumpuan kepada tempat-tempat kritikal seperti pasar awam dan kini kita buat di pejabat-pejabat kerajaan yang akan buka dan sedang beroperasi begitu juga bas yang digunakan bagi menghantar serta bawa pulang pelajar dari dalam dan luar negeri ke Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, malam tadi.

Tambahnya, JBPM kini turut melakukan proses nyah cemar di masjid-masjid yang bakal melaksanakan Solat Jumaat bermula 22 Mei ini melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Baru-baru ini kita juga sudah buat untuk penjara dan imigresen, pusat koreksional di Ajil serta Marang yang melibatkan lebih 2,000 banduan dan kita kini beralih kepada masjid-masjid dalam negeri," katanya.


Tag: