• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Lancar 10 Manifesto Depani PRN

MARANG, 9 Mei - Pelancaran 10 manifesto PAS Terengganu secara berperingkat merupakan kesinambungan daripada kejayaan yang dicapai dalam pelaksanaan 20 tawaran semasa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang menyusun langkah untuk memastikan setiap tawaran itu sampai ke akar umbi.

“Bermula sekarang hingga pilihan raya negeri nanti usaha itu digarap supaya mesej itu diterima rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Husain Awang sudah mengumumkan dua daripada 10 janji yang ditawarkan dalam manifesto negeri itu jika menang dan mengekalkan pentadbiran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Husain, lapan lagi janji dalam manifesto itu akan diumumkan secara berperingkat kepada rakyat Terengganu.

Katanya, dua manifesto awal ditawarkan PAS adalah rakyat Terengganu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan layak membuat pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah.

“Kita akan sediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara Qardul Hassan untuk kerjaya maksimum RM4,000 dan khairat kematian RM500 untuk setiap kematian.

“Setakat ini, saya boleh maklumkan dua janji sahaja, manakala lapan lagi akan diumumkan pada Program Himpunan Teguh Pertahan (HTP) akan datang,” tambah beliau.


Tag: