• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Lancar `Hari Tanpa Mesyuarat' Setiap Isnin



Wan Nawawi bersama sebahagian daripada peserta yang menyediakan kain rentang sempena LTdL bagi menzahirkan sokongan mereka dalam kejohanan penuh prestij tersebut. Foto oleh Zulkifli CW Putra.

Kempen `Hari Tanpa Tali Leher' yang bermula pada setiap Isnin sejak Februari tahun lalu diteruskan dengan `Hari Tanpa Mesyuarat' pada hari yang sama, berkuat-kuasa serta-merta. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, sempena kempen itu, kerajaan negeri menetapkan bahawa setiap Isnin menjadi hari untuk semua pentadbir serta penjawat awam negeri memberi sepenuh tumpuan dan fokus kepada pelanggan.

Katanya, pada hari tersebut, ketua-ketua jabatan negeri serta persekutuan tidak dibenarkan mengadakan sebarang mesyuarat bagi memberi peluang untuk mereka turun padang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira peringkat.

“Pada hari Isnin, mereka (ketua jabatan) tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang mesyuarat kecuali ianya terlalu mustahak dan perlu diberi keutamaan.

“Saya berharap agar ketua-ketua jabatan khususnya dapat mematuhi dan menjadikan hari Isnin ini sebagai hari untuk mereka turun kelapangan bertemu dengan pelanggan-pelanggan dan cuba menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya. 


Beliau ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Kain Rentang Solidariti Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Tambah Wan Nawawi, dengan adanya keputusan sebegitu, ianya akan memberi kebebasan kepada ketua-ketua jabatan untuk bertemu secara langsung dengan pegawai-pegawai di peringkat bawah.

“Sudah sampai masanya untuk kakitangan kerajaan sentiasa bersama dengan rakyat bagi memahami apakah permasalahan sebenar yang berlaku di peringkat bawah.

“Hari tanpa tali leher dan mesyuarat ini diharapkan juga dapat menjadi satu hari yang bebas dan boleh dijadikan sebagai salah satu platform kepada ketua-ketua jabatan untuk turut bersama dengan kakitangan,” katanya.

Tag: