• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Terengganu Lancar Program Mencari Safawi 2.0

SETIU, 27 Oktober - Sebuah program pencarian bakat-bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi yang dinamakan Mencari Safawi 2.0 dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, hari ini.

Mengambil inspirasi kejayaan pemain kelahiran Dungun, Safawi Rasid yang kini berjaya melebarkan bakatnya di Eropah, Wan Sukairi menzahirkan matlamat untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu sebagaimana pemain tersebut di bawah satu program yang dirancang oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

"Program ini akan bermula hujung tahun ini di mana pihak JPNT akan melakukan pencarian bakat berumur 12 tahun di setiap daerah yang akan dikumpulkan sebagai sebuah pasukan.

"Matlamat kita adalah melahirkan seberapa ramai atlet dan membekalkan negeri serta negara dengan atlet berbakat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani dan Timbalan Pengarah MSNT, Noor Zatil Aqmar Mohamad Nor.

Tambahnya lagi, biarpun kejayaan Safawi lebih dilihat hasil daripada pembangunan juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) ia tetap membanggakan.

"Apa yang penting kita telah memulakan sesuatu yang baik untuk rakyat kita dan negeri. Soal masa depan, soal mereka mencari tempat dan berkembang di luar, itu soal lain seperti Safawi yang mendapat pendedahan lebih baik dan peluang lebih besar di tempat lain. Itu bergantung kepada kelebihan masing masing.

"Program ini akan ada nilai tambah berbanding program sedia ada. Kita tengok dulu hasilnya dari masa ke masa di mana ada keperluan untuk diperbaiki, dinilai dan di tambah baik," katanya.

 

 


Tag: