• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 26 Julai- Sebanyak 432,000 anak penyu telah dilepaskan ke perairan Terengganu oleh Jabatan Perikanan Malaysia. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, jumlah tersebut merupakan hasil penetasan yang berjaya dilepaskan daripada program pengeraman 582,000 telur penyu pada tahun 2021.

"Kalau ikut statistik umum, daripada 1,000 ekor yang dilepaskan ke laut, seekor akan kembali ke pantai ia menetas.

"Jadi, dengan program ini kita mengharapkan sekurang-kurang 432 ekor penyu akan balik ke tempat ia menetas iaitu di sini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat berkaitan tindakan kerajaan negeri dalam meningkatkan pendaratan penyu di perairan Terengganu dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, program berkenaan merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri meningkatjan pendaratan penyu di pantai Terengganu.

Dr. Azman memaklumkan, pada 2021 sebanyak 7,378 sarang pendaratan penyu direkodkan yang menunjukkan tidak berlaku kekurangan pendaratan penyu di pantai Terengganu.

"Selain itu, apabila dikuatkuasakan enakmen Pemuliharaan Penyu 1991 pindaan 2021 yang mengharamkan penjualan semua jenis telur penyu, maka jabatan (perikanan) membeli semua telur dari pemajak untuk tujuan penetasan.

"Bagi tahun 2022, peruntukan bagi pembelian telur penyu ini dinaikkan daripada RM600 ribu (2021) kepada RM900 ribu," katanya.


Tag: