• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Terengganu Mahu Bawa Tenaga Boleh Baharu Ke Tahap Tertinggi

KUALA TERENGGANU, 16 April – Kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, EPIC Berhad dan EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) berhasrat membawa Industri Tenaga Boleh Diperbaharui ke tahap lebih tinggi.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Ts Muhtar Suhaili berkata pihaknya telah mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Tenaga Malaysia awal pagi tadi.

“Pertemuan kali ini membuka ruang diskusi yang boleh membantu syarikat menambah baik operasi dan kekal berdaya saing terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. 

“Sebagai sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas, EPIC komited kepada kelestarian tenaga dengan meningkatkan pengaplikasian teknologi hijau ke arah mencapai Sustainable Development Goals (SDG),” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Turut hadir dalam kunjungan itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Azilah Wan Abdullah, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Atiaullah Raslan dan Ketua Syarikat ESSB, Azman Muda.

Delegasi kumpulan EPIC tersebut disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Malaysia, Dato’ Ir. Ts. Abdul Razib Dawood.

Tambah Muhtar, Loji Janakuasa Tenaga Solar yang dijalankan oleh ESSB sejak tahun 2018 merangkumi kawasan seluas 76 ekar dengan 15 kluster panel terletak di Teluk Kalong dan boleh menjana tenaga dengan kapasiti 18.5 MW.

Tambahnya lagi, ESSB kini dalam perancangan untuk meluaskan lagi jaringan perniagaan dengan mengembangkan kapasiti yang ada kepada Large Scale Solar 5 (LSS5).

“Menerusi dialog bersama Suruhanjaya Tenaga, pihak syarikat berharap dapat membantu meningkatkan operasi dan seterusnya memperkuatkan posisi syarikat sebagai pemain industri tenaga boleh diperbaharui yang utama khususnya di kawasan pantai timur. 

“Pihak EPIC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengurusan Suruhanjaya Tenaga di atas penerimaan kunjungan dan berharap dapat menjalankan lebih banyak lagi perkongsian industri di masa hadapan,” ujarnya.

 

 

 

 


Tag: