• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Mahu Rapat Saf Solat, Tunggu Keputusan MKN

KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Kerajaan Terengganu telah berbincang dengan pihak berwajib mengenai solat berjemaah di masjid dan surau negeri ini bagi membolehkan kewajipan umat Islam itu dilakukan tanpa penjarakan sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, dalam pertemuan tersebut beliau mahu semua agensi berkerjasama dan berusaha agar hasrat rakyat itu dapat direalisasikan.

“Semua agensi berkaitan bersetuju tetapi terikat dengan beberapa agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tindakan perlu diseragamkan dan diselaraskan oleh semua pihak.

”Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mencadang rapat saf setelah melalui fasa endemik COVID-19. Kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) di Masjid Al-Haram dan Masjid Annabawi Arab Saudi sahaja, bukan keseluruhan masjid di Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) M. Rozi Bidin, Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Ahadi Othman dan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Ustaz Zulkefli Othman.

Dalam perkembangan berbeza, Mohd Nor berkata, gerak kerja  untuk memartabatkan institusi agama dan peranannya dalam aspek dakwah serta pembinaan insan akan diperkemaskan. 

“Pihak agensi dan jabatan bersikap terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan ke arah pemurnian aktiviti yang telah dijalankan pada tahun-tahun sebelum ini dan bersedia menilai cadangan-cadangan baru.

”Pihak jabatan akan mengadakan 'retreat' dalam masa terdekat bagi memperkasakan usaha ke arah Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” tambah beliau.


Tag: