• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Manfaat Kejayaan Anak Negeri

KUALA LUMPUR, 3 Mei - Anak Terengganu yang mencipta kejayaan dan menempa nama dalam kerjaya, sukan dan pendidikan menjadi kebanggaan kerajaan negeri akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kecemerlangan mereka ini mampu mencetuskan inspirasi serta menjadi contoh kepada mereka yang lain.

"Peranan mereka ini boleh digunakan untuk membangunkan negeri, sayang jika sekiranya mereka yang cemerlang ini tidak dioptimumkan.

"Kerana itu pertemuan NGO yang diadakan pada hari ini sangat baik sebagai platform untuk disalurkan segala pandangan atau cadangan atau sebagainya untuk kebaikan kerajaan negeri serta rakyat secara khususnya,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sidang Meja Bulat Pimpinan NGO Terengganu di Perantauan Beserta Majlis Iftar Bersama pimpinan Kerajaan negeri dirasmikan Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Sunway Putra Hotel, di sini kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Samiun Salleh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Mohd Nasir Abdul Razab dan Ketua Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.

Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, bagi memastikan anak rantau aktif berperanan, persatuan Anak-anak perantau itu turut menganggotai Majlis Permuafakatan NGO-NGO Terengganu.

"Dr Kamaruzaman telah kita panggil mewakili anak rantau menjadi ahli jawatankuasa NGO berkenaan.

"Melaluinya kita akan meneruskan agenda-agenda bersama dengan kerajaan sebagai rakan kongsi kepada kepimpinan kerajaan untuk melakukan yang terbaik untuk negeri dan rakyat," ujarnya.

Sementara itu Dr Kamaruzaman ketika ditemui media menyatakan usaha berkenaan merupakan insiatif yang sangat tepat dalam menyatukan dua pihak berkenaan.

"Persatuan ini pada peringkat awalnya disertai 16 NGO yang telah digabungkan kini disusun semula oleh pihak kerajaan melalui sekretariat ini.

"Kita akan sentisaa mengadakan pertemuan serta bermesyuarat dari semasa ke semasa dan akan melihat pelbagai aspek dengan mengharapkan setiap pandangan dan cadangan bagi membantu membangunkan negeri ini.

"Selain itu saya juga akan turut menyeru supaya mereka melayari lawan sesawang TRDI di bawah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) untuk mendapatkan maklumat tepat serta mengetahui perkembangan semasa mengenai setiap apa dilakukan oleh kerajaan pada waktu ini untuk kebaikan bersama," ujarnya.

 

 


Tag: