• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Minta Kerajaan Pusat Hormat Hak Rakyat Negeri

PUTRAJAYA, 7 Mac – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim meminta agar kerajaan Persekutuan menghormati hak-hak dan peranan rakyat Terenganu seperti yang termaktub dalam Jadual 9 dan Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata walaupun sering kali dianaktirikan, kerajaan negeri akan sentiasa bersikap profesional dan mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan semangat federalisme sentiasa subur demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Terengganu.

“Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) akan sentiasa dibawa untuk membolehkan Negeri Terengganu bergerak maju ke hadapan.

“Besar harapan saya agar kerajaan Persekutuan meneruskan penyaluran royalti petroleum mengikut ketetapan jadual tanpa sebarang kelewatan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Tambah Amzad, beliau menegaskan agar Kerajaan Persekutuan tidak menidakkan hak negeri kerana ia sama seperti suatu pengkhianatan terhadap semangat federalisme yang diamalkan di negara ini.

Justeru itu, Kerajaan Persekutuan diingatkan untuk tidak berlaku zalim kerana pada akhirnya yang menderita adalah rakyat itu sendiri.

“Seramai 1.2 juta rakyat Terengganu sepatutnya menerima hak mereka dengan anggaran terimaan sebanyak lebih RM1.5 bilion.

“Namun sehingga ke hari ini, Kerajaan Persekutuan masih belum melunaskan baki bayaran royalti bagi petroleum milik rakyat Terengganu bagi tahun 2023," jelasnya

Jelasnya lagi, tindakan itu seolah-olah melengah-lengahkan pembayaran royalti petroleum diibaratkan sebagai mendiskriminasikan hak negeri Terengganu.

Sekali gus Ahmad Amzad berkata, ia menjejaskan agenda merapatkan jurang pembangunan ekonomi serta kebolehcapaian antara negeri Terengganu dan negeri-negeri maju yang lain.

“Ini jelas menunjukkan perilaku Kerajaan Persekutuan yang tidak ‘matang’.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab dengan seadilnya kepada setiap negeri dalam Persekutuan,” ujarnya.

 


Tag: