• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Muncul Naib Juara Piala Tun Abdul Razak

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif ( lima dari kanan) dan Dato' Rozi meraikan kejayaan pasukan THT yang muncul naib johan di pentas final Piala Tun Abdul Razak, malam ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Pasukan Hoki Terengganu (THT) gagal mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak edisi ke-55 apabila tewas di tangan Perak 3-2 di Stadium Azlan Shah, Perak, malam ini.

Dalam perlawanan yang turut disaksikan pleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan.


Namun demikian, pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-30 melalui pukulan kencang Muhammad Najib Abu Hassan.

Lima minit berselang, skuad kendalian Sarjit Singh kembali memberi kelegaan apabila menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari.


Pada minit ke-52, Perak sekali lagi kembali di depan apabila pukulan kencang Muhammad Haziq Samsul berjaya membolosi gol Terengganu.

Semangat juang yang tinggi, THT sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari pada minit ke-56.


Seminit sebelum tamat perlawanan, Hafifihafiz Hanafi meranapkan impian THT untuk mengekalkan kejuaraan apabila menyempurnakan pukulan sudut penaltinya untuk menjadikan kedudukan akhir 3-2.

Selaku juara, Perak membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 manakala Terengganu menerima wang tunai RM7,000.

Dalam kejohanan tersebut, pemain THT, Faizal Saari telah dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan jumlah keseluruhan sembilan gol.


Tag: